Sunday, June 28, 2009

Bukan Bercinta Hanya Bersahabat...

..:: Bukan Bercinta Hanya Bersahabat ::..
Posted by Rabiatul_Adawiyah (tokeikedai.org)



Ana mengeluh dengan tingkah laku suaminya. Ana menuduh Saiful mula mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Menurut Ana, keadaan ini disedarinya apabila Saiful mula main kayu tiga dengan rakan sepejabatnya, Seri. “Sejak kehadiran perempuan itu dalam kehidupan abang Saiful, saya sering bertengkar dengan suami. Perempuan itulah punca keretakan rumahtangga saya.”

Namun apa pula jawapan Saiful? “Ana sudah melampau. Cemburu buta. Saya dan Seri Cuma bersahabat sahaja tak lebih dari itu. Nothing special between us. Sebagai rakan setugas, saya memang tak nafikan saya rasa begitu serasi dengan Seri. Kami begitu selesa bila berbincang. Seri mempunyai pandangan yang luas, mudah bekerjasama, pendengar dan penasihat yang baik malah kami juga banyak berkongsi minat yang sama. Itu saja tidak lebih dari itu…….”Kata Saiful, tenang.

Azhari dan Sara juga menagku hanya bersahabat. Kebetulan mereka berdua sama-sama exco tertinggi salah sebuah kampus universiti terkemuka. Azhari dan Sara sering berjumpa dalam pelbagai aktiviti dan sering bermesyuarat bersama bagi melancarkan aktiviti kampus. Menurut Sara, Azhari seorang aktivis pelajar yang matang dan baik. Dia bukan hanya menganggapnya sebagai sahabat tapi juga seorang ‘abang’. Setiap masalah dibincangkan bersama dan sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama lain. Kalau tak berpeluang bertemu, mereka akan berhubung melalui telefon bimbit masing-masing.

Ketika rakan-rakan sekuliah bertanya tentang keintiman hubungan mereka berdua, Azhari dan Sara dengan selamba mengatakan mereka Cuma bersahabat. “Betul, kami tak ada apa-apa hubungan lain…..”.

Saiful dan Seri, Azhari dan Sara mengaku mereka hanya bersahabat. Namun kawan-kawan juga sesiapa yang berada di sekitar mereka merasakan ada sesuatu yang lebih dari sekadar persahabatan.


Persahabatan: Apa itu persahabatan?

Persahabatan merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan setiap insan. Mereka yang tidak mempunyai sahabat akan merasa kesepian dan tiada tempat meluah rasa. Namun bagaimana pula yang dijalinkan seperti Saiful dengan Seri atau Azhari dengan Sara yang menimbulkan gossip masyarakat sekitar? Sebelum perbincangan seterusnya, mari kita lihat sebentar makna atau erti sahabat itu sendiri. Menurut ahli psikologi, sahabat adalah orang yang dipercayai untuk diluahkan isi hati, kegembiraan atau kedukaan. Oleh itu sesiapa yang diyakini mempunyai ciri-ciri ini maka seseorang itu akan terpilih sebagai sahabat.

Setiap insan di dunia ini memerlukan sahabat atau orang lain dalam kehidupannya. Manusia itu perlu berkongsi sama dengan orang lain. Berkongsi sama itu sebenarnya pertahanan diri seseorang. Kerana manusia perlu untuk meluah dan mencurahkan isi hati dan perasaan-perasaan yang terpendam dalam diri kita. Dalam erti kata lain bahawa manusia memerlukan orang lain yang ia pilih dan percaya untuk meluahkan hal-hal peribadi.

Contohnya, apabila seorang gadis bersahabat dengan gadia lain, mereka boleh tidur sebantal, berkongsi barang atau saling pinjam meminjam baju atau seumpamanya atau lebih dari itu. Sesungguhnya manusia itu memang memerlukan sahabat dalam kehidupannya. Sekurang-kurang terdapat dua keuntungan yang diperolehi melalui persahabatan.

Pertama, untuk merealisasikan mimpi atau visi hidup. Seseorang memerlukan orang lain untuk membincangkan mimpi-mimpi dan permasalahannya. Seseorang itu ingin orang lain mendengar dan tahu keinginannya. Seterusnya berusaha saling bantu membantu antara satu sama lain. Kedua, sahabat diperlukan untuk mencari jalan keluar bagi sesuatu masalah atau perkara.

Persahabatan itu bermula dengan perkenalan. Setelah itu, jika terdapat kesamaan idea, gagasan, gaya hidup, minat, keperluan-keperluan, cara berfikir dan harapan maka timbullah rasa saling simpati. Apabila telah saling simpati maka akan wujud keterbukaan dan ketika ini mereka telah bersedia untuk saling mencurahkan suara hati.


Persahabatan Jejaka dan Wanita

Sahabat mempunyai kedudukan yang begitu khusus dalam hati seseorang. Apa masalahnya apabila seseorang itu bersahabat dengan lawan jenisnya? Bolehkah kita bersahabat dengan jejaka atau sebaliknya?

Apabila berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita sesungguhnya tidak akan ada jaminan hubungan ini benar-benar tulus dan murni. Sekurang-kurangnya, pasti ada harapan dan rasa memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau kedua-duanya sekali. Mesti ada kemungkinan walau pun pada kadar yang sedikit. Hubungan seumpama ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis. Terlalu sukar dan rumit untuk membezakan adakah hubungan ini benar-benar sekadar persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai yang mengharapkan wujudnya hubungan hati dan fizikal. Suatu yang amat sukar dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar sahabat. Maka mulalah si jejaka atau wanita itu mengangan-angankan “Kalaulah dia menjadi pendamping dalam hidupku”. Ketika inni sesungguhnya “tazyin syaitan” telah berjaya memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh utama dan pertama (syaitan) telah merempuh masuk ke dalam hati yang telah sedia ada dalam keadaan lemah dan longgar pertahanannya.


Berhentikan Proses Seterusnya!

Oleh itu, para muslimin dan muslimat yang dihormati, jika perkenalan kita sudah berubah menjadi simpati segeralah disusuli dengan pernikahan jika mahu proses persahabatan berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal. Manakala persahabatan di luar akad pernikahan bukanlah persahabatan ala sahabat (Rasulullah SAW).

Sebagaimana yang terjadi antara Ali dan Fatimah. Setelah pernikahan antara Ali dan Fatimah, maka Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali, sebelum aku bernikah dengan engkau di Kota Mekah ini, ada seorang pemuda yang menjadi idola di hatiku. Aku sangat inginkan kelak dia menjadi suamiku. Tapi semuanya itu aku simpan di dalam hatiku.” Kata Fatimah. “Kalau begitu engkau menyesal menikahi aku? Tanya Ali. “Tidak, kerana pemuda itu adalah engkau.” Jawab Fatimah.

Oleh itu, di dalam Islam kita dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang soleh namun ia tidak diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati. Sesungguhnya cinta itu boleh ‘menghinggapi sesiapa sahaja’ termasuk orang yang beriman atau para pendakwah. Apabila batas-batas pergaulan dan percampuran antara lelaki dan perempuan dilanggar, proses persahabatan sebegini akan terus bergulir dan tak mungkin dihindari. Oleh itu tidak mustahil jika para pendakwah lelaki dan perempuan juga turut terjebak untuk saling rindu-merindui…..

Sudah terlanjur digosipkan….

Pengendalian diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang abstrak. Kita tidak mampu mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati ‘berdegup’ hebat. Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya biasa sahaja. Namun ini bukan bermakna kita dibolehkan untuk bergaul bebas.

Bagaimana pula jika sudah terlanjur digosipkan, daripada fitnah, baik nikah sahaja. Inilah salah satu kesilapan besar. Ia bukanlah keputusan bijak. Tindakan yang diambil dengan menikahi rakan tersebut akan membenarkan sangkaan dan tohmahan orang selama ini. Tindakan sewajarnya yang mesti diambil adalah segera hentikan hubungan tersebut. Jauhilah fitnah dengan mengendalikan hati, namun ketika hati tak terkendalikan jagalah jarak fizikal. Hindarilah perkara-perkara yang mengundang fitnah seperti memberikan hadiah, sering berdua-duaan, sering telefon dan seumpamanya.


Jangan Terperangkap

Hati manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu. Sesungguhnya hati merupakan bejana yang paling penting. Ia merupakan kunci segala-galanya. Hati mestilah dikendali dengan sebaik-baiknya. Manakala pandangan pula titik langkah awal yang amat perlu diawasi kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.

Sebagaimana yang berlaku pada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat seorang wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan pandangannya dari wanita tersebut. Lalu bersabda:”Jangan kau ikuti pandangan itu dengan pandangan yang lain.”

Ketika inilah peranan iman yang kuat serta aktiviti “tazkiyatun nafs” (penyucian jiwa) perlu dimainkan. Di saat iman sedang merudum, sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti yang melibatkan lawan jenis. Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu dijaga adalah diri dan keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak berkomunikasi. Ingatlah, jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera kegiatan Islam dalam masa yang sama menjatuhkan Islam.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah mengingatkan orang yang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga pandangan dengan firman-Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, supaya mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka usahakan. Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan, supaya mereka menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya, kecuali apa yang biasa lahir daripadanya…..” (an-Nur:31-32)

Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar tidak terlanjur memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan urusan-urusan yang penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda untuk bertemu. Jangan sekali membuat agenda baru agar dapat berinteraksi kembali. Sesunguhnya jika ini tidak dikawal ia merupakan permulaan tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.

p/s..Artikel ini..bukanlah karya ana.(ermm...kira program dgn org kampung tu..apa pengisisannya..penulis sbnr ana tak pasti).ana dpt drpd shbt ana..harap2..nta/nti..dpt byk faedah drpd karya ini..

Wallahualam......

No comments:

Post a Comment